Bakul makanan untuk Palestin

Posted in VPM In The News

Usaha Pertubuhan Viva Palestina Malaysia beramal sempena Ramadan

UTUSAN MALAYSIA | 30 Jun 2015

LAMBAKAN makanan dan hidangan memenuhi meja adakalanya membuatkan kita lupa apakah hidangan untuk berbuka puasa bagi rakyat Palestin, yang hidup serba kekurangan dek kekejaman rejim Zionis.

Jika anda seorang yang prihatin dan ingin membantu sesama Islam, masih ada cara untuk membantu. Sebenarnya sejak lima tahun lalu, Pertubuhan Viva Palestina Malaysia (PVPM) telah mengorak langkah membantu rakyat Palestin pada bulan Ramadan dengan memberikan bahan-bahan makanan melalui projek yang dinamakan Ramadan Food Basket.

Jika pada tahun-tahun lalu, PVPM memberikan bahan makanan tetapi tahun ini mereka menghulurkan sumbangan wang supaya keluarga Palestin yang terpilih ini boleh membeli sendiri bahan-bahan makanan yang mereka perlukan.

Menurut Bendahari PVPM, Puan Seri Norma Hashim, setiap keluarga yang terpilih akan menerima sumbangan wang sebanyak RM148 (AS$40) berbentuk baucer bagi membeli barangan makanan di beberapa buah pasar raya yang terpilih di Gaza.

Beliau berkata, pada tahun ini, PVPM yang bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Gaza dan Tebing Barat berpendapat, adalah lebih relevan jika mereka memberikan sumbangan wang daripada makanan kerana mungkin keluarga Palestin tersebut memerlukan barangan makanan lain.

“Pada tahun ini sebanyak 2,250 keluarga akan menerima sumbangan tersebut, iaitu 1,250 keluarga di Gaza, 250 keluarga di Tebing Barat, 250 keluarga di Baitulmaqdis dan 500 keluarga lagi di Syria dan Turki.

“Buat masa ini, pihak kami telah pun menghantar sebanyak AS$80,000 (RM 296,000) dan kami masih memerlukan sumbangan daripada masyarakat Islam lain yang prihatin dengan nasib rakyat Palestin.

“Dengan wang sebanyak AS$40 itu, mereka boleh membeli barangan makanan seperti beras, minyak masak, gula, teh, tepung dan sebagainya di pasar. Walaupun sumbangan tersebut tidak banyak, sekurang-kurangnya dapat juga membantu mereka.

“Ekonomi di Palestin memang sangat teruk dan ramai orang yang hidup menderita dan miskin. Oleh itu kami berhasrat untuk dapat memberikan sebanyak mungkin sumbangan.

“Keluarga-keluarga yang menerima bantuan ini dipilih oleh sembilan NGO yang aktif di kawasan-kawasan terbabit. Tumpuan banyak di Gaza kerana 60 peratus penduduknya tidak bekerja. Jika mereka bekerja pun, mereka mendapat gaji yang sangat rendah,” kata Norma.

Beliau berkata, pada tahun 2014, PVPM membelanjakan sebanyak RM195,000 bagi bakul makanan daripada hasil sumbangan orang ramai.

Kempen ini akan berakhir pada 10 Julai dan buat masa ini, PVPM telah mendahulukan sumbangan tersebut menggunakan wang tabung yang diberikan sebelum Ramadan lagi supaya mereka dapat membeli makanan.

Melalui tabung tersebut juga, pihaknya turut mengadakan majlis iftar di Masjid Al Aqsa untuk satu malam dan dihadiri oleh ramai rakyat Palestin.

Kepada yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui Akaun Maybank 564324-601324 ‘Pertubuhan Viva Palestina Malaysia’ atau emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. dengan menyatakan nama dan jumlah sumbangan.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Azra 016-2094500 www.vpm.org.my.